Air terjun Sekayu terletak kira-kira 22 kilometer dari pekan Ajil dan 16 kilometer dari pekan Kuala Berang. Kuala Berang merupakan pusat pentadbiran daerah Hulu Terengganu yang pesat membangun dewasa ini. Perjalanan dengan kereta dari pekan itu ke Air Terjun Sekayu mengambil masa kira-kira setengah jam. Pengunjung akan menempuh perkampungan Melayu tradisional seperti Kampong Padang Setar, Kampong Sekayu dan Kampong Bukit Gemuroh.
Papan-papan tanda yang terpacak di tepi jalan memudahkan pemandu dari luar yang tidak biasa dengan kawasan di sebelah sini untuk berkunjung ke Air Terjun Sekayu tanpa rasa gusar. Kawasan hutan Sekayu yang dikenali ramai dengan jeram dan air terjun bertingkatnya terbahagi kepada dua bahagian, iaitu Taman Pertanian Negeri Sekayu dan Hutan Lipur Sekayu.
Pengunjung boleh melawat Taman Pertanian Negeri Sekayu terlebih dahulu sebaik sahaja melepasi pintu gerbang. Taman Pertanian ini dilandskap indah dan turut ditanami pepohon buahan seperti ciku, jambu batu dan durian. Tumbuhan berbunga turut ditanam sebagai penyeri kawasan yang tidak jemu-jemu menerima pengunjung jauh dan dekat terutamanya pada hari-hari cuti.
Manakala pepohon kayu yang tumbuh liar dalam hutan dara itu dipasang papan tanda yang tertera nama biasa dan nama saintifik untuk rujukan pengunjung. Antara pokok kayu yang tumbuh secara semulajadi di sini termasuklah Petaling (Ochanostachys amentacea), Kelat (Syzygium spp.) dan Nyatoh (Madhuca malaccensis). Ini hanyalah sebahagian kecil daripada ribuan spesis yang membentuk ekosistem paling tua dan paling kompleks di dunia. Satu ekosistem yang terancam pupus di mana kadar kehilangan hutan purba dan asli di planet ini mencecah 140,000 kilometer persegi setahun. Satu keluasan yang cukup membimbangkan yang turut memberi peningkatan kepada masalah pemanasan global.
Tarikan terbaru di Taman Pertanian Negeri Sekayu yang mampu menggamit lebih ramai pengunjung adalah kolam renangnya. Air yang mengalir dari kawasan hutan berbukit berhampiran disalurkan ke dalam kolam itu. Terdapat dua buah kolam yang masing-masing dengan kedalaman dua dan empat kaki dibina untuk kemudahan pengunjung. Pengunjung, tidak kira kanak-kanak maupun dewasa, sudah tentu akan teruja berendam di dalam kolam yang dingin lagi menyegarkan itu. Rama-rama dengan rona-rona cerah seperti kuning, biru dan hijau turut terbang riang menyerlahkan lagi keindahan yang sering menjadi buruan sejak berzaman.
Pengunjung juga boleh menikmati aliran jeram yang mengalir melalui celah-celah batu berhampiran di bawah pepohon tinggi yang menaungi redup kawasan hutan yang menampung pelbagai kehidupan. Satu alam penuh kehijauan yang memberikan ketenangan yang diciptakan Tuhan. Lorong pejalan kaki turut dibina bagi memudahkan pengunjung menjelajah hutan lipur itu. Begitu juga dengan jambatan gantung yang dibina merentangi jeram mengalir deras dengan alirannya yang begitu mengujakan. Tidak ketinggalan taman permainan kanak-kanak dengan pelbagai warna terang yang mampu memberikan keriangan dan menjana imaginasi.
Pengunjung juga boleh mengunjungi Hutan Lipur Sekayu yang berjiran dengan Taman Pertanian Negeri Sekayu. Hutan lipur yang dibuka secara rasmi oleh Dato’ Seri Amar Di Raja pada 15 Mei 1983 itu terletak di bawah pentadbiran Pejabat Perhutanan Daerah Hulu Terengganu. Di sini, lebih banyak kemudahan disediakan untuk pengunjung.
Calet yang diberi nama-nama menarik seperti Manau, Semambu dan Sega ada disewakan dengan kadar yang berpatutan untuk pengunjung bermalam. Suasana kegelapan malam sudah tentu memberikan kelainan dan pengalaman yang berbeza kerana beberapa spesis fauna yang ujud di belantara negara ini hanya aktif apabila malam mula berlabuh.
Tapak perkhemahan turut disediakan dengan kemudahan asas seperti tandas, surau dan tempat babeku. Berkhemah di dalam hutan berhampiran jeram yang mengalir jernih, dingin dan menyegarkan menjadi kemestian kepada penggiat aktiviti rekreasi seperti pendaki gunung dan penjelajah hutan. Kaki treking mana yang tidak teruja dan terpikat dengan keindahan alam semulajadi yang bebas dari stres dan pencemaran yang sering mencengkam manusia yang mendiami hutan batu.
Taman Aroma, Taman Herba Ubatan dan Taman Orkid diujudkan bagi pengunjung mengenali lebih dekat flora yang telah banyak memberi menfaat. Orkid misalnya, dihargai pelbagai bangsa di dunia kerana mengeluarkan kuntuman bunga pelbagai bentuk, saiz dan warna yang memikat. Spesis orkid tertentu, seperti Vanilla planifolia, turut diusahakan secara komersil sebagai bahan wangian dan penambah perisa dalam pembuatan kek, biskut dan aiskerim.
Manusia turut mendapat faedah, contohnya dalam bidang perubatan, daripada hutan hujan tropika di dunia ini. Masyarakat Orang Asli, samada di negara ini atau di Lembah Amazon, telah menggunakan pelbagai spesis herba hutan yang tumbuh meliar sejak ribuan tahun. Menurut laporan, sebelum 1983, tidak ada satu pun syarikat besar yang melabur dalam kajian dan pembangunan spesis tumbuhan-tumbuhan ini dalam perubatan moden. Kini, lebih 100 syarikat antarabangsa yang kebanyakannya berpusat di Negara-negara Barat, melaburkan jutaan ringgit bagi memajukan khazanah dari hutan yang berpotensi amat besar bagi mengubati pelbagai penyakit termasuk kanser.
Pengunjung juga boleh menjelajah Hutan Lipur Sekayu melalui lorong konkrit dan denai hutan. Tetapi, pengunjung harus memastikan bahawa mereka hanya mengikuti laluan yang disediakan untuk mengelakkan daripada tersesat. Manakala jeram di sebelah sini membentuk air terjun bertingkat yang indah dan mempersonakan. Namun, pengunjung harus berhati-hati menempuhi batu-batu yang sesetengahnya agak licin. Begitu juga dengan beberapa kawasan berlubuk dalam yang mana kemalangan yang meragut nyawa pernah dilaporkan berlaku.
Pengunjung sudah tentu akan terhibur dan teruja sekiranya mengunjungi kawasan hutan antara yang tersohor di Terengganu ini. Hutan Lipur Sekayu dan Taman Pertanian Negeri Sekayu, destinasi pelancongan untuk semua. Semoga khazanah alam yang tercipta untuk kita semua ini akan kekal buat selamanya. Khazanah alam yang sungguh berharga yang diciptakan yang Maha Esa untuk kesejahteraan hidup manusia tidak kira di mana mereka berada.